Menteri: Tawaran Peruntukan Naik Taraf Rumput Padang Setiap Negeri Oleh KBS Idea TMJ
March 8, 2023 Hafizuddin Omar

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh mengakui tawaran peruntukan melalui dana geran padanan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf padang bola sepak terpilih setiap negeri kepada penanaman rumput jenis zeon zoysia adalah idea daripada pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Menerusi laporan media semalam, Hannah yang juga merupakan Ahli Parlimen Segambut mengesahkan tawaran itu telah dibuat ketika mesyuarat pertama KBS bersama Exco setiap negeri pada Januari lalu. Ketika ini, pihaknya sedang menunggu maklum balas setiap wakil negeri yang dijangka akan disampaikan dalam mesyuarat kedua akan datang.

“Betul ini idea DYAM Tuanku @hrhcrownprinceofjohor untuk mencadangkan lebih banyak stadium di seluruh Malaysia mempunyai padang rumput yang berkualiti.” tulis Hannah yang membalas komen Tunku Ismail pada sebuah hantaran di laman sosial, Instagram.

Sebelum itu, TMJ meninggalkan komen mengenai realiti mentaliti pemilik dan presiden kelab-kelab bola sepak tanah air yang tidak mahu memperuntukkan belanja terhadap padang biarpun berbelanja puluhan juta untuk pasukan masing-masing setiap tahun.

“Kalau nak tunggu owner (pemilik) atau president club (presiden kelab), sampai bila-bila rumput lembu. Boleh belanja berpuluh juta setiap tahun tetapi padang 900k tak boleh buat.” 

“Baru-baru ni saya ada beri cadangan ke seorang owner club (pemilik kelab). Saya cakap buat masa menunggu stadium baru siap, tukar padang stadium yang pakai sekarang. At least (sekurang-kurangnya), apabila stadium baru siap anda mempunyai 2 padang quality (berkualiti).”

“Dia jawab FAM kena bantu.”

“Semenjak bila badan induk yang bertanggungjawab atas infra club kita? Tetapi inilah akibatnya apabila ada owner (pemilik) atau president (presiden) yang tak minat bola tetapi mengguna bola sepak demi agenda lain.” 

“Mindset (mentaliti).” 

Bagaimanapun, Hannah berkata, setiap negeri perlu menyelenggara padang yang dipilih terlebih dahulu untuk pastikan saliran air dalam keadaan baik sebelum pihak KBS memberikan peruntukan bagi menanam rumput jenis zeon zoysia tersebut.

Sementara itu, penyelenggaraan tahunan padang berkenaan itu pula akan menjadi tanggungjawab negeri masing-masing sekiranya mereka memilih untuk menerima tawaran itu.

Komen