Naik taraf kemudahan sukan sedia ada di bawah seliaannya dalam negara menjadi keutamaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada ketika ini.
Menterinya, YB Hannah Yeoh berkongsikan perkara berkenaan ketika menjawab permintaan oleh Ahli Parlimen Bentong, YB Young Syefura semasa sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2023 di Parlimen, semalam.
Difahamkan, Ahli Parlimen Bentong itu memohon daripada KBS untuk mengadakan satu kompleks sukan yang lengkap dengan fasiliti sukan di kawasannya serta dua buah litar motocross (motosikal lasak) di FELDA Mempaga dan kawasan Pelangai.
Permintaan ini atas faktor warga Bentong tiada kemudahan untuk bersukan yang lengkap khususnya golongan belia.
“Ini adalah kerana pembinaan baharu fasiliti atau premis sukan memerlukan penyelenggaraan yang tinggi serta pertambahan perjawatan bagi menguruskannya,” jelas Hannah merangkap Ahli Parlimen Segambut.
Namun begitu, Hannah turut memberikan penjelasan tambahan bahawa KBS sedia untuk mempertimbangkan permohonan projek baharu sekiranya menepati syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Ekonomi.
Berkenaan pembinaan litar motosikal lasak, Hannah mengakui menerima banyak permintaan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan kesemuanya berkos tinggi.
Dimaklumkan pihaknya akan meneliti setiap permintaan itu namun mahu memastikan apabila dibina, ianya betul-betul menepati hasrat penggunaan di kawasan tersebut serta mempunyai peruntukan yang cukup untuk penyelenggaraan.