Terbuka Jerman: Pearly-Thinaah Bertembung Shida-Matsuyama Di Separuh Akhir
March 11, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan menjadi wakil tunggal negara yang melangkah ke peringkat separuh akhir Terbuka Jerman 2023 – Jelajah Dunia BWF Super 300.

Langkah kemaraan itu direalisasikan selepas berhasil melakar kemenangan ke atas wakil Jepun yang menghuni ranking ke-11 dunia, Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara di peringkat suku akhir, awal pagi tadi.

Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan menumpaskan Matsumoto-Nagahara menerusi tiga set permainan yang berlangsung sengit memakan sekitar satu jam permainan yang berkesudahan dengan skor 21-17, 18-21 dan 21-11.

Sementara itu, menanti mereka di peringkat separuh akhir adalah pilihan pertama kejohanan merangkap beregu No.2 dunia, Chiharu Shida dan Nami Matsuyama.

Beregu yang datangnya dari negara matahari terbit ini melangkah ke peringkat separuh akhir selepas menundukkan beregu senegaranya, Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota secara “straight set” dengan skor 27-25 dan 21-15.

Untuk pengetahuan, ini bakal menjadi pertembungan kesembilan melibatkan kedua-dua pasangan di kejohanan bawah seliaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Bagaimanapun, rekod Pearly-Thinaah bertemu Chiharu-Matsuyama tidak begitu memberangsangkan. Daripada lapan pertemuan lalu, beregu negara hanya berhasil meraih satu kemenangan sahaja iaitu ketika di peringkat separuh akhir kejohanan Terbuka Perancis, tahun lalu.

Pertembungan terakhir melibatkan kedua-dua pasangan ini yang berlangsung di Terbuka India pada Januari lalu kembali memihak kepada Chiharu-Matsuyama.

Untuk makluman, pertarungan separuh akhir melibatkan Pearly-Thinaah dan Chiharu-Matsuyama dijangka berlangsung sekitar jam 12 tengah malam nanti, waktu Malaysia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen