Artikel

5 Perkara Mengenai Pembentukan Projek Road To Gold Oleh KBS

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi menterinya, YB Hannah Yeoh dalam satu majlis sidang media yang diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam mengumumkan pembentukan pasukan projek Road To Gold. Projek ini diumumkan kira-kira setahun dan empat bulan sebelum berlangsungnya Sukan Olimpik Paris 2024. Berikut adalah lima yang perlu anda tahu berkenaan pembentukan projek tersebut:

#1 Objektif Road To Gold 

Tujuan utama projek ini diumumkan oleh menteri adalah untuk menyelaras usaha negara bagi meraih pingat emas di Sukan Olimpik. Namun begitu, mengambil kira struktur dan kaedah pelaksanaan projek Olimpik sebelum ini serta baki tempoh hanya setahun sahaja bagi menghadapi Olimpik Paris pada tahun hadapan, Jawatankuasa ini akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi dua temasya iaitu Paris 2024 dan Los Angeles 2028. Pada masa yang sama, Jawatankuasa Gold Paris yang diumumkan pada Julai 2022 turut dikenali Jawatankuasa Road To Gold.

#2 Senarai Ahli Jawatankuasa Road To Gold

Jawatankuasa ini dipengerusikan secara bersama oleh Menteri KBS, YB Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), YBhg. Tan Sri (Dr.) Norza Zakaria. Ianya turut disertai oleh lapan individu yang terdiri daripada pihak kementerian, agensi sukan, bekas atlet negara, persatuan dan badan sukan negara. Ahli-ahli tersebut adalah seperti berikut:

  • YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu – Ketua Setiausaha KBS
  • YBhg. Dato’ Ahmad Shapawi Bin Ismail – Ketua Pengarah MSN
  • En. Ahmad Faedzal Bin Mohd. Ramli – Ketua Pegawai Eksekutif ISN
  • YBhg. Dato’ Ahmad Najmi Bin Abdul Razak – Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM)
  • YBhg. Datuk Wira Lee Chong Wei – bekas jaguh badminton negara
  • YBhg. Dato’ Mirnawan Bin Datuk Haji Nawawi – bekas pemain hoki negara
  • En. Stuart Ramalingam – Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL)
  • Pn. Michelle Chai – Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM) 

#3 Pemilihan Individu Atas Faktor Kepakaran & Pengalaman

Semua perlantikan individu-individu di atas adalah atas dasar sukarela sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan negara (nation-building) secara kolektif. Menjelaskan pemilihan individu-individu tersebut, sebagai contoh, bekas atlet adalah atas faktor kepakaran dan pengalaman mereka yang tidak ternilai dan menjadi jambatan kukuh antara Jawatankuasa dengan atlet Road To Gold yang dipilih.

Bagi individu seperti Stuart dan Michelle yang turut dilantik sebagai Penyelaras Projek dan Pembantu Penyelaras Projek masing-masing, kedua-duanya mempunyai pengalaman kerja yang luas dengan badan dan agensi sukan antarabangsa. Latar belakang ini menjadikan mereka calon yang sesuai kerana peranan itu memerlukan kepakaran untuk menjalinkan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan secara strategik.

Jawatankuasa ini juga secara aktif akan membina kerjasama strategik dengan sektor korporat agar mereka turut terlibat dengan projek nasional utama ini. Selain itu, tugas segera Jawatankuasa ini adalah mengenal pasti keperluan tambahan yang diperlukan bagi menjayakan misi meraih emas di Olimpik.

#4 Perlantikan Chef De Mission Sukan Olimpik Paris 2024

Dalam sidang media yang sama, Hannah turut mengumumkan perlantikan Ahli Majlis FIFA merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), YBhg. Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin serta bekas jaguh skuasy No.1 dunia, Ybhg. Datuk Nicol Ann David sebagai Chef de Mission (Ketua Kontinjen) dan Timbalan Chef de Mission ke Sukan Olimpik Paris 2024. Difahamkan perlantikan kedua-dua individu ini mencerminkan asas Jawatankuasa ini yang terdiri daripada pentadbir berkepakaran dan atlet bertaraf dunia.

#5 Bekerjasama & Memperkasakan Program Podium

Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan Program Podium (program persediaan atlet elit di bawah ISN) sedia ada yang mana ia memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.

Kehadiran projek Road To Gold akan memperkasakan Program Podium sedia ada yang diketuai oleh MSN dan ISN melalui pemantauan di peringkat kementerian. Ini akan mengukuhkan lagi Jawatankuasa yang akan memberi fokus kepada menghapuskan sekatan, mengatasi had sedia ada dan menyediakan sokongan tambahan untuk bakal pemenang pingat negara. 

Sokongan tambahan yang diperlukan akan disesuaikan mengikut keperluan setiap individu yang berpotensi melalui konsultansi dengan atlet dan jurulatih masing-masing serta tidak terhad kepada sokongan fizikal sahaja malah bagi keseluruhan kesejahteraan diri atlet. Keperluan ini akan diberikan tertakluk kepada semakan berkala dan komitmen daripada atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat.

Featured Image: Facebook Hannah Yeoh

komen