Penyokong Lawan Ambil Peluang Undi Jersi JDT Sebagai Paling Buruk
March 13, 2023 Hafizuddin Omar

Portal yang terkenal dengan berita perkembangan jersi dan but bola sepak antarabangsa, Footy Headlines mengumumkan jersi “home” terbaru Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai jersi terburuk bagi Februari 2023 di lamannya.

Pengumuman itu hadir selepas jersi skuad Harimau Selatan merah dan biru bercorak “camouflage” serta bertemakan “Elevate The Game” oleh Nike itu menerima 39.8% undian.

Bagaimanapun, artikel daripada portal terbabit mendedahkan kemungkinan besar undian tersebut hasil daripada para penyokong pasukan lawan yang mengambil peluang untuk melakukan undian ke atas kelab yang tidak disukai mereka.

Sementara itu, jersi milik sebuah kelab berpangkalan di Belanda, RKC Waalwijk keluaran Stanno pula berada di tempat kedua selepas menerima undian sebanyak 24.1% dan diikuti dengan jersi milik FC Basel keluaran Macron pula di tempata ketiga dengan 16.9% undian.

Terdahulu, Footy Headlines menyenaraikan jersi “home” JDT sebagai salah satu daripada 20 jersi terburuk bagi bulan Februari 2023 sebelum membuka sesi undian untuk para pembacanya mengundi jersi terburuk.

Antara jersi lain yang turut tersenarai adalah milik skuad kebangsaan wanita kebangsaan Filipina, Toronto FC, St Louis City, Atletico Nacional, RB Leipzig, SC International serta Urawa Reds.

Komen