Kisona Dapat Tajaan RM100,000 Daripada MATRIX Concepts Holdings Berhad
March 13, 2023 Hafizuddin Omar

Perseorangan badminton wanita negara yang bergerak secara bebas (independent) pada ketika ini, Kisona Selvaduray mendapat tajaan yang agak lumayan bagi meneruskan kariernya di pentas antarabangsa.

Pemain berusia 24 tahun dan menghuni ranking ke-48 dunia ini mendapat suntikan tajaan bernilai RM100,000 daripada syarikat pemaju hartanah yang tersenarai di Bursa Malaysia iaitu Matrix Concepts Holdings Berhad.

Kisona mendapat tajaan terbabit secara rasmi dalam majlis yang diadakan di Petronas Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada hari ini sambil dihadiri oleh Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, Dato’ Seri Lee Tian Hock, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dr. Norza Zakaria.

Turut sama di dalam majlis itu adalah Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, Naib Presiden BAM, Datuk Ng Chin Chai, Setiausaha Agung BAM, Dato’ Kenny Goh serta bapanya, A. Selvaduray.

Untuk makluman semua, tajaan daripada Matrix Concepts Holdings Berhad ini hadir setelah Kisona mendapat tajaan bagi barangan dan pakaian sukannya oleh Felet Sports, Januari lalu.

Sebagai rekod, Kisona bertindak mengundurkan diri daripada bawah naungan badan induk badminton negara pada hujung tahun lalu bagi menumpukan perhatian terhadap proses pemulihan lututnya serta bergerak secara bebas.

Kisona sudah kembali beraksi di peringkat antarabangsa dengan menyertai Cabaran Antarabangsa Thailand pada minggu lalu. Bagaimanapun, penyertaannya di kejohanan itu hanya setakat di Pusingan 32 sahaja.

Kejohanan seterusnya, Kisona dijangka akan beraksi di Terbuka Swiss dan Madrid Spain Masters yang dijadualkan berlangsung pada 21-16 Mac dan 28 Mac-2 April masing-masing.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen