Buat pertama kali dalam sejarah Chelsea serta bagi sebuah stadium dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) akan menganjurkan satu majlis berbuka puasa bersempena dengan datangnya bulan Ramadan.
Menurut makluman rasmi, majlis ini bakal diadakan pada 26 Mac (Ahad) kelak bertempat di gelanggang keramatnya, Stamford Bridge. Ianya hasil kerjasama antara Chelsea Foundation dan penganjur acara komuniti Ramadan terbesar di United Kingdom (UK), Open Iftar.
Difahamkan, mereka menjemput komuniti-komuniti muslim yang terdiri daripada jemaah beberapa masjid tempatan, penyokong serta pelajar sekolah untuk hadir berbuka puasa bersama staf Chelsea.
Open Iftar turut berkolaborasi dengan Ramadan Tent Project – sebuah badan amal yang diasaskan pada tahun 2013 dengan misi untuk merapatkan hubungan komuniti secara bersama dan memberikan kefahaman tentang Ramadan.
Selain itu, Ramadan akan diperakui di Chelsea FC dan Chelsea Foundation dan menjadi sebahagian daripada kempen No To Hate – sebuah kempen yang membawakan nilai kesamaan, kepelbagaian dan termasuk program yang mensasarkan kebencian dan diskriminasi serta bertujuan untuk mendidik kesemua pemegang taruh dalam dan luar Chelsea FC dan bola sepak.
Untuk makluman, mempromosikan toleransi agama merupakan salah satu fokus utama dalam kempen No To Hate.