All England 2023: Juara Edisi 2021 Singkir Pearly-Thinaah Di Pusingan 32
March 15, 2023 Hafizuddin Omar

Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2023 yang membuka tirainya semalam telah pun mengorbankan dua wakil beregu wanita negara seawal di peringkat Pusingan 32.

Pasangan No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan mendapat kejutan awal daripada saingan bertaraf Super 1000 ini apabila tumpas kepada wakil Jepun merangkap juara edisi 2021, Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara.

Dalam pertembungan yang berlangsung hampir satu jam permainan itu, Pearly-Thinaah terpaksa akur tumpas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-13, 15-21 dan 15-21.

Untuk makluman, ini merupakan julung kalinya Pearly-Thinaah tumpas kepada Matsumoto-Nagahara di pentas antarabangsa. Dua pertemuan lalu memperlihatkan kemenangan berpihak kepada Pearly-Thinaah secara berturut-turut.

Pada masa yang sama, ini juga merupakan pencapaian terburuk Pearly-Thinaah di kejohanan All England dimana mereka berhasil mara sehingga ke peringkat suku akhir dua kali secara berturut-turut sejak edisi 2021.

Sementara itu, sepasang lagi wakil negara dalam kategori ini, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien turut menerima nasib yang sama apabila tumpas kepada beregu Perancis, Margot Lambert dan Anne Tran dalam satu pertarungan sengit selama lebih satu jam yang berkesudahan dengan pungutan mata 19-21, 21-18 dan 15-21.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen