All England 2023: Yew Sin-Ee Yi Jumpa Juara Edisi Lalu Di Pusingan 16
March 15, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.2 tanah air, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi berhasil melepasi ujian awal dengan menumpaskan lawannya Pusingan 32 di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2023 sekaligus mara ke Pusingan 16.

Lawan yang dihadapi mereka adalah pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020 dari Taiwan iaitu Lee Yang dan Wang Chi-lin.

Yew Sin-Ee Yi berhasil menumpaskan pasangan yang menghuni ranking ke-17 dunia itu menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 12-21, 21-16 dan 21-18 dalam tempoh masa hampir satu jam permainan.

Sementara itu, di Pusingan 16 kelak, Yew Sin-Ee Yi merangkap pilihan kelapan kejohanan akan membuat perhitungan dengan juara bertahan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana bagi merebut tempat di peringkat suku akhir.

Shohibul-Bagas mengesahkan kemaraan ke Pusingan 16 selepas menundukkan wakil Korea, Kim Gi-jung dan Kim Sa-rang. Beregu No.4 Indonesia ini menumpaskan lawannya menerusi tiga set permainan dengan pungutan mata 21-15, 13-21 dan 21-16 dalam waktu permainan yang hampir menjangkau satu jam.

Melihatkan rekod pertemuan, Yew Sin-Ee Yi dan Shohibul-Bagas hanya pernah bertemu sebanyak satu kali sahaja setakat ini di pentas antarabangsa.

Menariknya, pertemuan terbabit berlangsung dalam kejohanan All England edisi lalu di peringkat yang sama iaitu Pusingan 16 dimana kemenangan berpihak kepada Shohibul-Bagas menerusi skor 24-22, 13-21 dan 21-17.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia & Badminton Indonesia

Komen