Sebuah program kelas renang percuma buat kanak-kanak daripada keluarga B40 bakal dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat – jangkaan pada bulan ini.
Program bersifat pendidikan sukan ini bakal dilaksanakan sepanjang tahun di fasiliti kolam renang milik kerajaan di negeri terpilih khususnya di kawasan yang mencatatkan kadar kematian tinggi akibat lemas.
Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Parlimen, semalam.
Hannah yang juga merupakan Ahli Parlimen Segambut memberikan butiran tambahan bahawa program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini akan memberikan manfaat kepada 1,600 kanak-kanak yang berumur dari 3 hingga 12 tahun.
Semasa penggulungan itu, beliau turut menyelitkan data yang dikongsikan kepadanya bahawa kira-kira sebanyak 500 kes lemas melibatkan kanak-kanak dilaporkan setiap tahun.
Beliau mengharapkan dengan program ini dapat mengurangkan serta mengelakkan kes lemas dalam kalangan kanak-kanak.