Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di saingan Piala Negara-Negara UCI Trek di Kaherah, Mesir yang berlangsung pada minggu ini.
Perkara itu disebabkan oleh pelumba berusia 35 tahun tersebut mendapat kecederaan ketika sesi latihan di sana.
Bagaimanapun, tiada sebarang perincian mengenai kecederaan yang dialaminya ketika sesi latihan terbabit.
Difahamkan, keputusan untuk menarik diri dibuat oleh pelumba yang terkenal dengan julukan “The Pocket Rocketman” itu atas nasihat doktor serta faktor-faktor lain.
Dengan menarik diri, beliau memberi ruang kepada dirinya sendiri untuk mendapatkan pemulihan yang optimum.
Pada masa yang sama, Azizul memaklumkan tempatnya akan digantikan dengan seorang lagi pelumba trek negara, Fadhil Zonis.
“Saya memohon agar anda semua terus memberikan sokongan kepada atlet lumba basikal yang akan bertanding di sini.” tulis Azizul di laman sosial milik peribadinya, petang tadi.
Sebagai rekod, ini merupakan kejohanan kedua yang cuba disertainya selepas menjalani pembedahan jantung sekitar 12 bulan lalu.
Ketika kembali beraksi buat pertama kali di kejohanan Piala Negara-Negara UCI Trek di Jakarta, Indonesia, Azizul berhasil merangkul pingat perak dalam acara keirin yang berlangsung pada penghujung bulan lalu.
Featured Image: Facebook Azizulhasni Awang