Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) menetapkan sebanyak 28 jenis sukan wajib dipertandingkan bermula temasya SUKMA 2024 dimana Sarawak menjadi tuan rumah. Penetapan itu dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh merangkap Menteri Belia dan Sukan pada hari ini.
Senarai 28 jenis sukan yang wajib dipertandingkan di SUKMA adalah seperti berikut:
- Akuatik (renang & terjun)
- Angkat berat
- Badminton
- Berbasikal (trek & lebuh raya)
- Gimnastik (artistik & gimrama)
- Golf
- Lawan pedang
- Memanah
- Menembak
- Olahraga
- Pelayaran
- Hoki
- Judo
- Ping pong
- Taekwondo
- Karate
- Boling padang
- Pencak silat
- Sepak takraw
- Skuasy
- Tenpin bowling
- Wushu
- Bola sepak
- Ragbi
- Bola jaring
- Bola keranjang
- Bola tampar
- Tenis
Namun begitu, Sarawak selaku tuan rumah diberikan pilihan memasukkan beberapa sukan tambahan. Hasilnya, Sarawak telah memutuskan untuk menyenaraikan empat jenis sukan iaitu tinju, muay thai, petanque dan sukan elektronik (e-sports) – tertakluk kepada jumlah minimum penyertaan enam negeri seperti terkandung dalam Peraturan Am Sukan Malaysia.
Pada masa yang sama, Jawatankuasa juga telah bersetuju untuk Majlis Sukan Negara (MSN) mengadakan beberapa sesi libat urus bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan pemegang taruh yang berkaitan bagi mengkaji kemungkinan membuka penyertaan kepada lebih banyak jenis sukan untuk dipertandingkan pada edisi temasya SUKMA pada masa hadapan.
Featured Image: Majlis Sukan Negara