Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) menyaksikan tiadanya kelibat beregu lelaki negara yang mara ke peringkat suku akhir buat kali ketiga berturut-turut.
Pada edisi kali ini, peringkat tersebut sekali lagi tidak diwarnai dengan kehadiran beregu lelaki Malaysia apabila Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi tumpas kepada juara bertahan, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana.
Dalam pertarungan yang memakan masa sehingga 44 minit permainan itu, Yew Sin-Ee Yi yang merupakan wakil tunggal negara dalam kategori terbabit di Pusingan 16 terpaksa akur tumpas di tangan gandingan dari Indonesia itu secara “straight set” dengan skor 21-18 dan 21-18.
YONEX All England Open Badminton Championships 2023
MD – R16
🇮🇩Muhammad Shohibul FIKRI🏅
21 21 🇮🇩Bagas MAULANA🏅
🇲🇾ONG Yew Sin
18 18 🇲🇾TEO Ee Yi🕚 in 44 minutes
— BWFScore (@BWFScore) March 16, 2023
Kekalahan ini merupakan satu episod kedukaan yang berulang buat Yew Sin-Ee Yi kerana mereka turut mengalami kekalahan kepada lawan yang sama, di peringkat sama dalam kejohanan yang sama pada edisi lalu.
Terdahulu, saingan All England 2023 mempunyai dua wakil negara dalam kategori beregu lelaki. Namun begitu, beregu No.1 tanah air merangkap juara Kejohanan Dunia BWF, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terkandas seawal di Pusingan 32.
Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki Malaysia menyerikan peringkat suku akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 adalah pada edisi 2020 yang lalu menerusi kehadiran gandingan Aaron-Wooi Yik.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia