Ruichang China Masters: Pasangan Jadi Lawan, Arif & Haikal Bertembung Di Suku Akhir
March 16, 2023 Hafizuddin Omar

Wan Arif Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri yang pernah bergandingan bersama serta terkenal dengan julukan ‘Patatimo Boys’ tidak menunggu lama untuk bertembung sesama sendiri dengan pasangan baharu masing-masing di kejohanan antarabangsa selepas ‘bercerai’ pada Februari lalu.

Arif yang bergandingan bersama Yap Roy King pada saat ini akan turun berentap menentang Haikal yang berpasangan dengan Nur Izzuddin pada peringkat suku akhir Ruichang China Masters, pada hari esok.

Terdahulu, gandingan Arif-Roy King berhasil mengesahkan langkah ke suku akhir selepas menumpaskan beregu tuan rumah, Huang Jia Wei dan Zhang Nan dengan bergaya secara “straight set” dengan skor 21-10 dan 21-18 dalam tempoh setengah jam.

Manakala Haikal-Izzuddin pula mara ke peringkat yang sama juga dengan menundukkan lawan dari negara yang sama, Fan Jun Lin dan Liu Zi Jie secara “straight set” dengan pungutan mata 22-20 dan 21-13 dalam tempoh masa 31 minit.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan oleh penganjur, kedua-dua beregu ini akan beraksi pada perlawanan pertama di Gelanggang 2 pada jam 4 petang waktu Malaysia bagi merebut tempat ke peringkat separuh akhir Jelajah BWF Super 100 ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen