All England 2023: Zii Jia Jejak Pentas Suku Akhir Selepas Hampir 5 Bulan
March 17, 2023 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kembali menjejaki peringkat suku akhir kejohanan individu antarabangsa buat kali pertama selepas hampir lima bulan sekadar terkandas di Pusingan 32 mahupun Pusingan 16.

Pemain yang menghuni ranking ke-4 dunia ini dapat melangkah ke peringkat tersebut di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2023.

Ianya setelah berjaya menumpaskan pemain Jepun, Kenta Nishimoto pada peringkat Pusingan 16 yang berlangsung awal pagi tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Zii Jia berhasil menumpaskan pemain No.2 Jepun itu secara “straight set” dengan skor 21-15 dan 21-10 dalam tempoh 40 minit permainan.

Pada masa yang sama, kemenangan sekaligus menjadikan Zii Jia melebarkan rekod kemenangan ke atas Kenta menjadi lima kemenangan daripada enam pertemuan secara keseluruhan.

Sementara itu, menanti Zii Jia di peringkat suku akhir adalah seorang lagi pemain dari negara matahari terbit yang kini merupakan perseorangan No.1 negaranya iaitu Kodai Naraoka.

Untuk makluman, Kodai mengesahkan langkah ke suku akhir setelah menundukkan pemain India, Kidambi Srikanth juga secara “straight set” dengan skor 21-17 dan 21-15.

Sebagai rekod, Zii Jia gagal melangkah ke peringkat suku akhir sejak kejohanan Terbuka Perancis 2022 yang berlangsung pada 25hb hingga 30hb Oktober lalu.

Ianya berlarutan ke saingan Terbuka Australia 2022, Terbuka Malaysia 2023, Terbuka India 2023, Indonesia Masters 2023 dan Terbuka Jerman 2023.

Featured Image: VICTOR Facebook

Komen