Ng Tze Yong Belum Pernah ‘Pecah Telur’ Lawan Li Shi Feng
March 17, 2023 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.2 negara, Ng Tze Yong berhasil menempah tiket ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2023 selepas menumpaskan juara bertahan, Viktor Axelsen pada Pusingan 16, tengah malam tadi.

Kemenangan itu membawanya bertemu dengan pemain China yang menduduki ranking ke-14 dunia, Li Shi Feng bagi merebut tempat ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia BWF Super 1000 ini.

Bercakap mengenai pertembungan ini, Tze Yong mempunyai rekod yang buruk menentang pemain berusia 23 tahun ini di pentas antarabangsa. 

Berdasarkan rekod pertemuan, Tze Yong sudah pernah bertemu Shi Feng sebanyak empat kali dan keempat-empat pertemuan itu berakhir dengan kekalahan.

Empat pertemuan terbabit berlangsung di Kejohanan Badminton Asia Remaja 2017 (20-22, 15-21), Kejohanan Berpasukan Campuran Dunia Remaja 2018 (7-21,19-21), Terbuka HYLO 2022 (12-21, 14-21) dan Terbuka India 2023 (19-21, 14-21).

Jika diamati, Tze Yong turut menanggung kekalahan secara “straight set” dalam keempat-empat pertemuan itu.

Pada masa yang sama, Shi Feng juga berada dalam prestasi terbaiknya bersandarkan kepada dua kejohanan yang disertainya baru-baru ini.

Untuk makluman semua, Shi Feng masih segar dengan kejayaannya mara ke perlawanan akhir Terbuka Jerman pada minggu lalu selain mara ke peringkat separuh akhir saingan Princess Sirivannavari Thailand Masters yang berlangsung sekitar awal Februari lalu.

Featured Image: Badminton Association of Thailand & Badminton Association of Malaysia

Komen