Prestasi Kodai Naraoka Merosot Sejak Muncul Naib Juara Terbuka Malaysia 2023
March 17, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain muda Jepun, Kodai Naraoka yang akan menjadi lawan buat Lee Zii Jia di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2023 pernah mencipta sensasi dalam arena badminton antarabangsa terutamanya sekitar enam bulan terakhir tahun lalu.

Pada ketika itu, Kodai yang berusia 21 tahun berhasil muncul juara Terbuka Vietnam (Super 300) serta meraih dua gelaran naib juara di saingan Terbuka Singapura (Super 500) dan Terbuka Taipei (Super 300). Sekitar awal tahun pula, dia turut berhasil meraih gelaran naib juara Korea Masters (Super 300). 

Selain itu, Kodai turut berhasil mara sekurang-kurangnya ke pentas separuh akhir sebanyak empat kali di kejohanan besar iaitu Terbuka Denmark (Super 750), Terbuka Perancis (Super 750), Terbuka Australia (Super 300) dan Jelajah Akhir Dunia BWF.

Momentum itu dibawa pula sehingga ke Januari lalu dengan merangkul naib juara Terbuka Malaysia (Super 1000). Di kejohanan ini juga Zii Jia menjadi mangsa kepada Naraoka pada pertemuan pertama mereka apabila tumpas seawal Pusingan 32 di hadapan penyokong sendiri di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Bagaimanapun, prestasi Naraoka kelihatan mula merosot selepas itu apabila sering terkandas di Pusingan 32 atau Pusingan 16 dalam tiga kejohanan individu yang disertainya iaitu Terbuka India (Super 750), Indonesia Masters (Super 500) dan Terbuka Jerman (Super 300).

Kemaraannya ke peringkat suku akhir All England pada kali ini merupakan yang pertama sejak itu.

Akan tetapi, kemaraan Zii Jia ke peringkat suku akhir turut diiringi dengan skrip seakan sama seperti Naraoka. Namun pemain kelahiran Alor Setar ini mengalami kemarau kemaraan ke peringkat terbabit yang lebih lama dengan menjangkau hampir lima bulan lamanya.

Dijangka pertemuan Zii Jia dan Naraoka yang akan bermula sekitar 9.20 malam ini (waktu Malaysia) berlangsung sengit dengan kedua-duanya mahu membangkitkan semula prestasi semasa di kejohanan antarabangsa.

Sementara itu, pemenang yang mara ke peringkat separuh akhir akan bertemu salah seorang daripada perseorangan China samada Shi Yu Qi atau Weng Hong Yang.

Featured Image: Victor Facebook & Badminton Association of Thailand

Komen