Piala Negara-Negara UCI: Shah Firdaus Raih Pingat Perak Acara Keirin Di Kaherah
March 17, 2023 Hafizuddin Omar

Pelumba basikal trek negara sekali lagi merangkul pingat perak dalam acara keirin di saingan Piala Negara-Negara UCI Trek pada tahun ini.

Kali ini, kilauan pingat perak itu dirangkul oleh pelumba berusia 27 tahun, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam edisi yang berlangsung di Velodrom Antarabangsa Kaherah, Mesir minggu ini.

Shah membawa pulang pingat tersebut selepas menamatkan perlumbaan akhir yang berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia) di belakang pelumba Jepun, Shinji Nakano dengan perbezaan masa 0.057 saat. 

Sementara itu, pingat gangsa pula dimenangi oleh seorang lagi pelumba Jepun, Kaiyo Ota.

Untuk makluman, dalam saingan Piala Negara-Negara UCI Trek edisi yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada penghujung bulan lalu, pingat perak telah disumbangkan oleh jaguh berbasikal trek tanah air, Datuk Azizulhasni Awang atau terkenal dengan julukan “The Pocket Rocketman”.

Featured Image: UCI

Komen