Alif Terus Taja Liga Malaysia Selepas Mendapat Sambutan Peminat Bola
March 20, 2023 Hafizuddin Omar

Selepas kolaborasi antara jenama minyak masak, Alif dan Malaysian Football League (MFL) mendapat tempat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, pemiliknya, Sime Darby Oils mengumumkan lanjutan penajaan terhadap saingan Liga Malaysia pada tahun ini. 

Perkembangan itu hadir dalam satu majlis yang diadakan di Sime Darby Plantation Tower, Ara Damansara sambil dihadiri oleh wakil daripada kedua-dua entiti terbabit pada hari ini. Sehubungan itu, minyak masak Alif kekal sebagai Minyak Masak Rasmi untuk Liga Malaysia.

Dimaklumkan, kolaborasi antara Alif dan MFL menarik hampir 30,000 pengunjung yang turut serta dalam aktiviti-aktiviti menarik di Zon Alif yang dijalankan di stadium semasa 22 perlawanan terpilih sepanjang tahun lalu.

Selain itu, kerjasama ini turut mendapat manfaat melalui kehadiran penyokong bola sepak yang besar di media sosial dimana kehadiran maya Alif meningkat secara memberangsangkan dengan siaran media sosial berkaitan MFL mencapai 3 juta tontonan.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Sime Darby Oils memperkenalkan  produk iaitu ‘Minyak Masak Alif Ecopax’ yang hadir menerusi pembungkusan terbaru seberat 3 kilogram dalam bentuk “stand-up pouch”. 

Pembungkusan ini menjadikan minyak masaknya lebih mudah dikendalikan, disertakan dengan penutup boleh tutup semula dan lebih kompak bersesuaian untuk disimpan di dalam dapur moden tanpa mengambil ruang yang besar.

Bercakap mengenai aktivitinya bagi Liga Malaysia musim ini, Alif merancang untuk mengadakan beberapa aktiviti gaya hidup yang akan dijalankan di kedai-kedai jualan sebagai contoh bersama rangkaian jualan seperti AEON Big yang juga merupakan salah satu penaja Liga Malaysia.

Komen