MFL Umum Agihan Wang Penajaan Kepada Pasukan Minggu Ini – Peningkatan Lebih 90%
March 20, 2023 Hafizuddin Omar

Penganjur bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) akan mengumumkan agihan wang penajaan yang diperolehinya kepada pasukan-pasukan yang bertanding pada minggu ini – ketika rehat antarabangsa FIFA.

Perkembangan itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam selepas daripada Majlis Pengumuman Penajaan Alif bersama MFL di Sime Darby Plantation Tower, Ara Damansara, pada pagi tadi.

Stuart mendedahkan ada penambahan besar terhadap jumlah agihan dana yang akan diterima oleh pasukan bertanding dengan jumlah 90% berbanding tahun lalu.

Pastinya peningkatan itu disumbangkan oleh keberhasilan MFL memeterai perjanjian penajaan dengan 13 entiti setakat ini seperti Unifi, Puma, Pos Malaysia, Alif, Malaysia Airlines, Uphamol, Proviton STR, Origina, Colgate, BubblesO2, Al Rajhi Bank, AEON BiG dan Touch n’ Go.

Selain itu, MFL turut mendapat suntikan yang besar menerusi kemasukan semula Astro selaku rakan penyiar rasmi serta rakan penyiar sedia ada, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Difahamkan, jumlah pengagihan yang akan diumumkan itu nanti telah dipersetujui oleh kesemua Ketua Pegawai Eksekutif serta wakilnya dalam satu mesyuarat pada Februari lalu sebelum sepak mula Liga Super.

Komen