Selepas Tubuh Skuad Futsal, JDT Rancang Wujudkan Pasukan Bola Sepak Wanita
March 20, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) berkemungkinan besar akan turut sama menghiasi kancah sukan No.1 Malaysia bagi kategori wanita.

Ini selepas pemilik skuad berjulukan Harimau Selatan, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengesahkan pihaknya sedang dalam perancangan untuk mewujudkan pasukan berkenaan menerusi satu ciapan di akaun Twitter peribadinya.

“Ada sesiapa nak main untuk pasukan wanita JDT?” tulis baginda sambil membalas lontaran harapan daripada pemain skuad kebangsaan, Steffi Sidhu agar JDT menubuhkan pasukan wanita sepertimana dilaporkan Flash Sukan.

Steffi menjangkakan kewujudan pasukan wanita JDT dapat meningkatkan tahap bola sepak wanita negara ini sesuai dengan tahap profesionalisme dan kejayaan luar biasa yang telah ditampilkan terutamanya menerusi pasukan lelakinya di pelbagai peringkat umur.

Menariknya, pendedahan perancangan untuk mewujudkan pasukan wanita berkenaan hadir selepas JDT menubuhkan skuad futsalnya bagi beraksi dalam Malaysia Premier Futsal League (MPFL) musim ini.

Untuk makluman, selain terlibat dalam bola sepak dan futsal, JDT turut berkecimpung dalam sukan lain bagi mengembangkan lagi jenamanya seperti hoki ais, e-sports dan tinju menerusi penubuhan Pasukan Hoki Ais JDT, Pasukan Esports JDT dan Pasukan Tinju JDT masing-masing.

Komen