Liga M3 Dijenamakan Sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank Bermula Minggu Ke-4 Mei
March 20, 2023 Hafizuddin Omar

Saingan bola sepak semi-profesional tanah air, Liga M3 akan dijenamakan sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank atau MBSB Bank Championship bermula minggu ke-4 bulan Mei kelak.

Ini susulan syarikat perbankan Islam, MBSB Bank tampil memeterai perjanjian dengan pengendali liga, Amatuer Football League (AFL) dalam satu majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS), semalam.

Bukan itu sahaja, MBSB Bank selaku penaja utama dan Rakan Bank Rasmi AFL juga diangkat menjadi penaja bersama bagi saingan bola sepak amatur tanah air iaitu Liga M4 dan Liga M5 yang turut dikendalikan oleh AFL.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menyifatkan kehadiran bank yang sudah bertapak di Malaysia hampir 18 tahun ini sebagai lambang penerimaan syarikat swasta terhadap sukan bola sepak di peringkat amatur yang berteraskan komuniti setempat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib pula melihat kolaborasi ini membuka peluang buat orang ramai mengenali MBSB Bank dengan lebih dekat dan memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan bagi membantu menguruskan kewangan dengan lebih berhemah.

Featured Image: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS)

Komen