Ranking BWF: Lee Zii Jia Kekal No.4 Dunia
March 21, 2023 Hafizuddin Omar

Kejayaan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) selepas sering kali terkandas awal dalam beberapa kejohanan sebelum ini nampaknya tidak memberi kesan kepada kedudukan ranking dunianya.

Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, Zii Jia yang meraih 8,400 daripada kejohanan bertaraf Super 1000 itu kekal di kedudukan keempat dunia dengan pungutan 74,568 mata.

Pemain yang bakal menjengah usia 25 tahun dalam beberapa hari lagi ini menghuni tangga keempat dunia di bawah Viktor Axelsen (108,206 mata), Jonathan Christie (80,062 mata) dan Anthony Sinisuka Ginting (77,579 mata).

Untuk makluman semua, ranking terbabit dihuninya sejak sembilan minggu lalu apabila jatuh daripada kedudukan kedua dunia – ranking terbaik pernah dihuninya dalam kariernya setakat ini.

Sementara itu, terdapat peningkatan yang agak ketara melibatkan dua perseorangan muda negara iaitu Justin Hoh dan Ong Ken Yon yang merekodkan peningkatan sebanyak 15 dan 11 anak tangga sekaligus menghuni tangga ke-70 dan ke-109 masing-masing.

Manakala bagi seorang lagi pemain muda negara, Ng Tze Yong yang berhasil ke peringkat suku akhir All England selepas menumpaskan Viktor Axelsen pada minggu lalu meningkat dua anak tangga dan menghuni ranking ke-26 dunia.

Featured Image: Victor Facebook

Komen