Pengadil EPL Diminta Beri Ruang Pemain Muslim Berbuka Puasa
March 22, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain-pemain muslim yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) akan diberi ruang untuk berbuka puasa apabila masuk waktu Maghrib (terbenam matahari) ketika dalam permainan sepanjang bulan Ramadan.

Perkembangan ini hadir selepas badan pengadil negara terbabit, Professional Game Match Official Limited (PGMOL) telah mengeluarkan satu panduan kepada para pengadil berkenaan hal terbabit, lapor Sky Sports secara eksklusif.

Panduan itu membenarkan pengadil untuk menghentikan permainan seketika dan membolehkan pemain-pemain yang berpuasa untuk berbuka dengan mengambil sebarang minuman, gel tenaga atau makanan tambahan.

Para pengadil turut digalakkan untuk mengenal pasti sebarang pemain yang memerlukan waktu berbuka ini dan anggaran waktu secara kasar yang dipersetujui.

Untuk makluman semua, antara pemain muslim yang beraksi dalam kancah EPL ialah Mohamed Salah (Liverpool), Riyad Mahrez (Manchester City), N’golo Kante (Chelsea) dan beberapa pemain lain lagi.

Featured Image: Liverpool FC

Komen