Terbuka Swiss: Zii Jia, Tze Yong & June Wei Melangkah Ke Pusingan 16
March 23, 2023 Hafizuddin Omar

Saingan Terbuka Swiss yang berlangsung pada minggu ini menyaksikan tiga perseorangan lelaki negara berhasil mengesahkan langkah ke Pusingan 16 selepas mengatasi lawan masing-masing.

Pertamanya, pemain No.1 negara, Lee Zii Jia mencipta sensasi apabila kemaraannya terhasil dengan menumpaskan juara Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2023 iaitu Li Shi Feng  di Pusingan 32 semalam.

Kejayaan itu tidak hadir dengan mudah dimana Zii Jia terpaksa beraksi selama satu jam dan 12 minit terlebih dahulu sebelum dapat menyingkirkan pemain dari China itu menerusi tiga set permainan dengan skor 18-21, 21-18 dan 23-21.

Di peringkat Pusingan 16, Zii Jia akan berhadapan dengan pemain Ireland yang menghuni ranking ke-34 dunia, Nhat Nguyen.

Seterusnya, pemain No.2 negara, Ng Tze Yong turut sama mengikuti jejak langkah Zii Jia ke Pusingan 16 apabila berhasil melepasi cabaran daripada rakan senegara, Soong Joo Ven.

Pertarungan melibatkan kedua-dua pemain ini turut berlangsung sengit dengan set pertama dan kedua berkesudahan dengan skor 23-25 dan 21-17 masing-masing. Akan tetapi, Joo Ven membuat keputusan untuk memberhentikan permainannya (retired) ketika skor 13-4 sekaligus memberikan kemenangan kepada Tze Yong.

Akhir sekali, Cheam June Wei pula melangkah ke Pusingan 16 selepas turut menumpaskan rakan senegara, Liew Daren secara “straight set” dengan skor 21-14 dan 21-13 dalam tempoh masa sekitar setengah jam.

Menariknya, Tze Yong dan June Wei akan berentap sesama sendiri di Pusingan 16 bagi merebut tiket ke peringkat suku akhir. 

Komen