Harimau Malaya merupakan nama julukan bagi skuad bola sepak kebangsaan bagi menunjukkan ketangkasan, keberanian dan kehebatan. Namun begitu, populasi harimau liar di Malaysia telah menurun kepada kurang 150 ekor pada masa ini daripada sekitar 1,000 ekor pada 1970-an.
Bagi memerangi kepupusan haiwan yang menjadi lambang ikonik bagi skuad bola sepak kebangsaan serta negara ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil berganding bahu menyokong usaha konservasi biodiversiti termasuk Harimau Malaya yang diterajui oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
Susulan itu, FAM melalui Jawatankuasa Eksekutif telah bersetuju untuk memberikan sumbangan kepada KBS sebanyak RM1 daripada setiap jualan tiket perlawanan melibatkan skuad kebangsaan bagi membantu usaha konservasi ini.
Mengulas mengenai sokongan terhadap usaha ini, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh tidak mahu “Harimau Malaya” sekadar tinggal maskot atau slogan dan laungan sahaja tanpa adanya harimau liar di hutan negara kita pada suatu hari nanti.
Manakala Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin pula optimis kolaborasi bersama KBS ini menjadi saksi kepada satu bukti konklusif di mana kedua-dua organisasi ini juga menitikberatkan hidupan liar khususnya harimau Malaya yang merupakan haiwan ikonik Malaysia yang kini sedang berdepan isu kepupusan.
Untuk makluman semua, harimau adalah satu indikator yang penting bagi biodiversiti dan kemandirian spesies ini di hutan negara kita bagi kesejahteraan ekosistem yang menyokong kelangsungan hidup kita semua. Kepupusan harimau liar di negara ini didorong oleh pelbagai ancaman termasuk pemburuan haram.