Pemain tengah, Mesut Ozil yang pernah beraksi bersama Werder Bremen, Arsenal, Real Madrid dan skuad kebangsaan Jerman sah menggantung butnya serta-merta pada usia 34 tahun menerusi satu pengumuman yang disiarkan di pelbagai laman sosial miliknya, semalam.
Sepanjang 18 tahun kariernya sebagai pemain bola sepak profesional, Ozil telah beraksi untuk 7 buah kelab sekitar Eropah, menjaringkan 137 gol dan mencatatkan 262 bantuan gol serta merangkul pelbagai piala di dalam kariernya terutamanya yang menjadi idaman ramai – Piala Dunia.
Berikut adalah 10 pencapaian menakjubkan Mesut Ozil sepanjang kariernya selaku pemain profesional:
#1 Pemenang Piala Dunia FIFA 2014
Bersama pasukan kebangsaan Jerman, Mesut Ozil berjaya menjulang piala terulung di dalam sejarah bola sepak – Piala Dunia pada tahun 2014 di Brazil selepas Mario Gotze melakukan jaringan voli pada masa tambahan dalam perlawanan akhir yang mengecewakan skuad Argentina atau nama julukannya, La Albiceleste.
#2 Tersenarai Dalam Kesebelasan Terbaik Tahunan UEFA
Mesut Ozil membuktikan dirinya sebagai salah seorang bakat terbaik pada generasinya apabila tersenarai sebanyak 2 kali dalam senarai ‘UEFA Team of the Year’ pada tahun 2012 dan 2013 – meletakkan dirinya berdiri sama tinggi dengan bintang dunia yang juga bekas rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo.
#3 Raja Kejohanan Kalah Mati
Tidak keterlaluan untuk mengatakan kejohanan kalah mati menjadi satu kelebihan buat Ozil. Bermula di Jerman, pemain beragama Islam ini berhasil menjulang DFB Pokal bersama Werder Bremen (2008/09) sebelum menjuarai Copa Del Rey di Sepanyol bersama Real Madrid (2010/11) serta merangkul Piala FA Inggeris bersama Arsenal.
#4 Julang Piala FA Inggeris Sebanyak 4 Kali
Walaupun kariernya bersama Arsenal berakhir dengan nada sedih, Mesut Ozil telah membantu The Gunners untuk muncul juara Piala FA Inggeris sebanyak 4 kali – 2013/14, 2014/15, 2016/17 & 2019/20.
#5 Pemenang 5 Kali Pemain Terbaik Tahunan Jerman
Bermula daripada aksi cemerlangnya di Piala Dunia 2010, Mesut Ozil terus mencetus fenomena dengan membolot anugerah individu ‘German Player of the Year’ sebanyak 5 kali dalam tempoh 6 tahun – 2011, 2012, 2013, 2015, 2016.
#6 Bantuan Gol Terbanyak Dalam Semusim di Premier League
Musim 2015/16 merupakan musim yang cukup ajaib di England apabila Leicester City dinobatkan juara dan Mesut Ozil juga mencatatkan bantuan gol terbanyak (19) pada musim yang sama, berbeza 1 bantuan gol dengan pemegang rekod tersebut sepanjang zaman, Thierry Henry dan Kevin de Bruyne (20).
#7 Pemain Meraih 50 Bantuan Gol Tercepat di Premier League
Mesut Ozil telah mencipta rekodnya yang tersendiri di Premier League selepas meraih 50 bantuan gol dalam hanya 141 perlawanan, kurang 2 perlawanan berbanding Eric Cantona sebelum Kevin de Bruyne memintas dengan 123 perlawanan sahaja diperlukan untuk mencapai angka 50 bantuan gol.
#8 Jumlah Peluang Dicipta Terbanyak di Premier League
Menurut Opta, rekod 146 peluang dicipta milik Mesut Ozil merupakan rekod tertinggi pernah dicatatkan Opta sejak musim 2003/04, menyaksikan Kevin de Bruyne di tempat ke-2 dengan 136 peluang dicipta bagi musim 2019/20.
#9 Pemain Jerman Termahal Sebelum Kai Havertz
Sebelum Kai Havertz berpindah ke Chelsea dengan nilai yuran perpindahan sebanyak €70 juta, Mesut Ozil merupakan pemain Jerman termahal yang berpindah dari Los Blancos ke Arsenal dengan nilai perpindahan sebanyak €50 juta.
#10 Pernah Menjadi Rekod Perpindahan Termahal Arsenal
Sehingga musim 2016/17, Mesut Ozil merupakan pemegang rekod perpindahan termahal The Gunners dengan €50 juta dilaburkan Arsene Wenger pada musim 2013/14 yang mana ramai mengetahui bertentangan dengan sifat pengendali dari Perancis itu yang suka berjimat cermat.
18 tahun bukanlah tempoh yang singkat buat salah seorang bakat terbesar yang lebih dikenali sebagai ‘maestro’ bola sepak yang cukup masyhur pada era kegemilangannya sehinggalah detik beliau mengumumkan persaraannya. Danke, Ozil!