Terbuka Swiss: Aaron-Wooi Yik Gagal Ke Suku Akhir Dalam 3 Kejohanan Berturut-Turut
March 24, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sekali lagi gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir dalam kejohanan yang disertai mereka.

Terbaru, langkah pasangan juara Kejohanan Dunia BWF ke peringkat suku akhir tersekat dalam saingan Terbuka Swiss yang disertai pada minggu ini.

Situasi itu hadir apabila Aaron-Wooi Yik gagal mengatasi beregu yang menghuni ranking ke-25 dunia dari Jepun, Akira Koga dan Taichi Saito di Pusingan 16, malam tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tumpas kepada Koga-Saito menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 17-21, 21-16 dan 21-17 dalam tempoh masa 64 minit permainan.

Untuk makluman, ini juga merupakan pasangan yang sama menewaskan Aaron-Wooi Yik di peringkat yang sama dalam saingan Terbuka Jerman, sekitar dua minggu lalu.

Sebagai rekod, ini merupakan kali ketiga berturut-turut Aaron-Wooi Yik gagal melangkah ke peringkat suku akhir selepas kandas di Pusingan 16 Terbuka Jerman dan Pusingan 32 Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England).

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen