5 Perkara Menarik Di Sebalik Kemenangan Malaysia Ke Atas Turkmenistan
March 24, 2023 Meor Mohamad Amirul

Malaysia bimbingan Kim Pan-gon berhasil mencetak kemenangan selepas Akhyar Rashid berhasil menjaringkan gol tunggal perlawanan pada separuh masa pertama ketika menentang Turkmenistan dalam perlawanan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). 

Kemenangan ini turut diserikan dengan penampilan beberapa muka baharu, aksi cemerlang penjaga gol serta impak menakjubkan yang ditampilkan pemain naturalisasi baharu negara. 

Berikut adalah rangkuman 5 perkara menarik di sebalik kemenangan Harimau Malaya pada malam tadi:

#1 Akhyar Kembali Gegar Gawang Lawan

Biarpun hanya beraksi selama 52 minit dalam saingan Liga Super, Akhyar Rashid telah mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan semalam dan menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Jaringan tersebut merupakan gol ke-8 buat pemain kelahiran Jitra, Kedah itu bersama skuad senior kebangsaan dan jaringan pertamanya sejak kali terakhir melakukannya setahun yang lalu di Stadium Nasional Kallang, Singapura menentang Filipina. 

#2 Penampilan Sulung Buat Muka Baharu 

Seramai 4 pemain baharu telah diberikan peluang oleh Kim Pan-Gon untuk melakukan penampilan sulung mereka bersama skuad kebangsaan – Paulo Josue, Endrick dos Santos, Nooa Laine dan Feroz Baharudin.

Paulo Josue dan Endrick dos Santos telah diturunkan dalam kesebelasan utama bagi mengawal bahagian tengah bersama Brendan Gan sebelum Nooa Laine dan Feroz Baharudin masuk pada babak kedua perlawanan. 

#3 Syihan Kebal Pertahankan Kubu Harimau Malaya

Syihan Hazmi tampil cemerlang apabila memastikan gawang pasukan negara tidak dibolosi selepas menyelamatkan 4 percubaan berbahaya yang hadir daripada jentera serangan Turkmenistan. 

Untuk rekod, Syihan hanya bolos 3 kali daripada 9 kemenangan yang dicatatkan skuad kebangsaan sejak penampilan sulungnya menentang Bangladesh dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 pada 14 Jun yang lalu.

#4 Impak Besar Paulo Josue 

Biarpun baru diturunkan bersama skuad kebangsaan, Paulo Josue hampir menjaringkan gol sulung pada penampilan sulungnya menerusi tandukan yang berjaya ditepis penjaga gol Turkmenistan, Charyyev Rasul.

Selain percubaan berbahaya, Paulo Josue aktif membantu jentera serangan dengan mencipta peluang kepada penyerang Malaysia antaranya hantaran lolos kepada Akhyar yang berjaya dihalang penjaga gol lawan.

#5 13 Kemenangan Buat Harimau Malaya & Pan-Gon 

Kim Pan-Gon meraih kemenangan ke-13 sepanjang beliau dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan dan mencatatkan kadar kemenangan sebanyak 72% ketika ini. 

13 kemenangan tersebut terhasil daripada 18 perlawanan skuad kebangsaan sejak Mac tahun lalu dengan Malaysia hanya tewas menentang Singapura, Bahrain, Tajikistan, Vietnam dan Thailand.

Komen