Badan induk olahraga dunia, World Athletics menetapkan atlet transgender yang melalui akil baligh sebagai lelaki tidak lagi dibenarkan bersaing dalam kejohanan ranking dunia bagi kategori wanita bermula 31 Mac 2023.
Peraturan baharu tersebut hadir selepas Ahli Majlis World Athletics membuat keputusan tersebut dan memaklumkannya menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasminya, pada awal pagi tadi.
Difahamkan, World Athletics telah menjalankan sesi konsultansi dengan pelbagai pemegang taruh seperti Ahli Persekutuan (Member Federations), Akademi Jurulatih-Jurulatih Olahraga Dunia dan Suruhanjaya Atlet, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) serta wakil transgender dan kumpulan hak asasi manusia dalam dua bulan pertama pada tahun ini sebelum membuat keputusan itu.
Sebagai rekod, sebelum ini World Athletics membenarkan atlet transgender bersaing dalam kategori wanita dengan syarat tahap testosteron di bawah 2.5nmol/L bagi tempoh 24 bulan.
Perkembangan ini menyaksikan World Athletics mengikut jejak langkah badan induk sukan renang dunia, Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) yang menyekat atlet transgender mengambil bahagian dalam kategori wanita bagi saingan elit bermula 20 Jun tahun lalu.