Artikel

5 Sebab Bayern Munich Pilih Thomas Tuchel

Bayern Munich telah memperkenalkan Thomas Tuchel bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Julian Nagelsmann setelah diumumkan berpisah dengan kelab itu menerusi pengumuman yang disiarkan melalui laman web rasmi mereka. 

Perlantikan Thomas Tuchel bagi menggantikan Julian Nagelsmann ini berkemungkinan  didorong oleh beberapa faktor untuk memastikan Bayern Munich kekal dominan di Jerman. Berikut kami hidangkan sebab-sebab mengapa Tuchel menjadi pilihan Der FCB:

#1 Pengurus Jerman yang Berpengalaman di Bundesliga

Melihat kepada trend beberapa musim yang lalu, Bayern Munich gemar melantik pengurus kelahiran Jerman seperti Hansi Flick dan Julian Nagelsmann sejak kali terakhir melantik Niko Kovac daripada Croatia pada musim 2019/20.

Malahan Tuchel yang turut lahir di Bavaria, Jerman sudah masak dengan saingan Bundesliga menerusi pengalamannya melatih beberapa kelab seperti FC Augsburg II, Mainz 05 dan Borussia Dortmund menjadikannya sebagai pengurus yang cukup berpengalaman untuk melatih Bayern Munich.

#2 Pengurus yang Menjuarai Pelbagai Piala

Thomas Tuchel telah memenangi pelbagai piala bermula di Borussia Dortmund apabila beliau membantu kelab itu menjulang DFB Pokal pada musim 2016/17 sebelum membantu Paris Saint-Germain (PSG) memenangi quadruple (empat trofi semusim) pada musim 2019/20.

Bersama Chelsea pula, Tuchel menjulang piala idaman para pengurus dan pasukan di Eropah – UEFA Champions League pada musim 2020/21 yang membawa kepada gelaran juara FIFA Club World Cup pada musim seterusnya. 

#3 Pernah Melatih Pemain Bintang

Sebagai salah satu kelab yang dominan di Jerman, Bayern Munich memerlukan seorang pengendali yang boleh mengawal suasana di bilik persalinan memandangkan mereka mempunyai beberapa pemain ternama dunia seperti Dayot Upamecano, Alphonso Davies dan Benjamin Pavard.

Tuchel dilihat mempunyai kewibawaan itu dengan pernah melatih PSG yang dipenuhi pemain bintang seperti Thiago Silva, Kylian Mbappe, Neymar dan Angel di Maria dan berjaya membawa mereka menjulang piala dengan konsisten di Ligue 1. 

#4 Mampu Mengubah Corak Permainan Bayern

Menurut CEO Bayern Munich, Oliver Kahn, permainan kelab itu di bawah kendalian Julian Nagelsmann itu semakin kurang menarik selepas saingan liga bermula sejurus tamat Piala Dunia FIFA tempoh hari.  

Oleh itu, Bayern Munich memerlukan seorang pengurus yang mampu mengubah cara Bayern Munich bermain dan Thomas Tuchel telah membuktikan kemampuannya dalam menampilkan falsafah menyerang dalam bola sepak yang menarik sejak mengendalikan Mainz 05 lagi.

#5 Salah Seorang Pengurus Terbaik Dunia

Biarpun tidak melatih mana-mana kelab selepas dipecat Chelsea, kredibiliti Thomas Tuchel sebagai pengurus berwibawa tidak boleh dipertikaikan lagi selepas meraih pelbagai anugerah individu yang memungkinkan Bayern Munich tertarik dengan beliau.

Pengendali berusia 50 tahun ini pernah memenangi anugerah UEFA Men’s Coach of the Year bagi musim 2020/21 dan juga dipilih sebagai German Manager of the Year serta The Best FIFA Football Coach bagi tahun 2021.

komen