Ahli Skuad ‘The Invincibles’ Nasihat Arsenal Ikat Saka Selama Sedekad
March 27, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab berpangkalan di London, Arsenal dinasihatkan untuk mengikat penyerang sayap mudanya, Bukayo Saka dengan kontrak jangka masa panjang selama sedekad atau sepuluh tahun.

Nasihat itu disampaikan oleh bekas pertahanannya merangkap ahli skuad “The Invincibles” yang menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa sebarang kekalahan pada musim 2003-24, Kolo Toure.

“Satu perkara perlu saya katakan – nasihat saya kepada Arsenal adalah tandatangani Bukayo Saka selama 10 tahun!” katanya seperti dipetik daripada Sky Sports.

“Satu kesilapan yang Arsenal lakukan pada tahun-tahun sudah, mereka mempunyai pemain yang menyayangi kelab dan mereka membiarkan pemain itu pergi,”

Kolo yang juga merupakan bekas pengurus Wigan Athletic menjelaskan pemain-pemain sebegini perlu dikekalkan oleh Arsenal kerana mereka boleh mengemudi kelab kehadapan.

Pemain-pemain yang mencintai kelab ini juga boleh diharapkan apabila keadaan menjadi sukar selain berjuang dengan sepenuh hati untuk kelab.

Pada musim ini, Saka yang berusia 21 tahun memainkan peranan yang penting dalam skuad kendalian Mikel Arteta dengan diturunkan sebanyak 38 kali dalam pelbagai kejohanan serta menjaringkan 13 gol serta mencipta 10 bantuan gol.

Penglibatan Saka bersama skuad kebangsaan England kendalian Gareth Southgate tidak kurang hebatnya dengan menjadi pilihan utama semasa kejohanan Piala Dunia hujung tahun lalu serta semasa kelayakan Euro 2024 menentang Itali dan Ukraine baru-baru ini.

Untuk makluman semua, kontrak Saka yang ditandatangani pada Julai 2020 lalu akan tamat pada musim panas tahun hadapan.

Featured Image: England Football

Komen