Artikel

7 Perkara Menarik Di Sebalik Kejayaan Harimau Muda Julang Piala Merlion

Malaysia B22 muncul juara Piala Merlion buat kali pertama selepas 41 tahun penganjurannya apabila berjaya menewaskan Hong Kong B22 di Stadium Jalan Besar, Singapura. Kejayaan ini memberi petanda positif buat skuad kendalian E. Elavarasan sebagai persiapan menjelang Sukan SEA 2023 pada Mei nanti.

Selain itu, beberapa perkara positif dapat dituai daripada persembahan skuad berjulukan Harimau Muda di kejohanan jemputan ini yang mampu mengukirkan senyuman buat penyokong bola sepak tanah air terutamanya dari segi penguasaan perlawanan, impak segera pemain muda serta kehadiran bakat-bakat baharu.

Berikut kami rangkumkan 7 perkara menarik di sebalik kejayaan Harimau Muda menjulang Piala Merlion ini:

#1 Malaysia Dominan Kuasai Perlawanan

Sepanjang kejohanan di Singapura ini berlangsung, skuad bawah 22 tahun kebangsaan yang diketuai Azam Azmi Murad menjadi sebuah pasukan yang ampuh menguasai perlawanan baik ketika menyerang dan bertahan.

Jika dilihat dari segi serangan, Malaysia menjaringkan 6 gol dalam 2 perlawanan yang memberi makna yang besar kepada ketajaman jentera hadapan negara yang dibarisi Haqimi Azim, Aliff Izwan, Najmuddin Akmal dan Fergus Tierney. 

#2 Impak Segera Najmuddin Akmal

Pemain berambut afro ini bukan sahaja menarik minat penyokong menerusi penampilannya malahan aksinya di atas padang cukup mengujakan dalam membantu jentera serangan Malaysia.

Najmuddin Akmal yang juga sebahagian daripada skuad kendalian Hassan Sazali Waras ketika mereka menjuarai Kejohanan AFF B19 tahun lalu berjaya menjaringkan dua gol buat Malaysia biarpun masuk selaku pemain gantian. 

#3 Kehadiran Pemain Liga Super Beri Tonik Tambahan

Kehadiran pemain utama dan sokongan kelab Liga Super di dalam skuad Harimau Muda kali ini membantu E. Elavarasan untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap menjelang Sukan SEA akan datang. 

Azam Azmi beraksi baik selaku ketua pasukan turut mencatatkan 1 bantuan jaringan ketika menentang Kemboja manakala empat lagi pemain – Haqimi Azim, V. Ruventhiran, Aliff Izwan dan Safwan Mazlan terlibat dalam beberapa jaringan Malaysia. 

#4 Beraksi Pada Intensiti Tinggi Dalam Bulan Ramadan

Sukar sebenarnya buat seorang pemain bola sepak untuk beraksi pada tahap dan intensiti tertinggi pada bulan Ramadan tatkala tubuh mereka masih beradaptasi dengan perubahan yang sedang berlaku.

Sebaliknya pula yang ditampilkan skuad kendalian E. Elavarasan apabila Harimau Muda bermain dengan cukup pantas ketika menyerang dan bertahan dalam memastikan mereka kekal dominan sepanjang perlawanan. 

#5 Bakat Baharu Yang Semakin Menyinar

Selain Haqimi Azim dan Najmuddin Akmal yang menonjol pada kedua-dua perlawanan Harimau Muda, ada satu lagi nama yang menarik perhatian penyokong Malaysia – Fergus Tierney yang menjaringkan gol pada perlawanan pertama Piala Merlion menentang Kemboja.

Kehadiran Haqimi, Najmuddin dan Fergus seolah-olah menjadi petanda positif buat masa hadapan jentera serangan negara yang sebelum ini dianggap semakin meruncing dek penglibatan penyerang tempatan yang terhad dalam saingan liga domestik.

#6 Kesilapan Yang Perlu Diberi Perhatian

Biarpun Malaysia dominan, sedikit kealpaan mengundang padah buat Malaysia apabila penjaga gol kebangsaan, Rahadiazli Rahalim melakukan kesilapan kritikal yang menjadi punca kepada jaringan Kemboja dan Hong Kong. 

Namun begitu, ini menjadi satu pengajaran penting buat Malaysia dan Rahadiazli. Tambahan pula, ianya boleh diperbaiki sebelum beraksi di temasya Sukan SEA kelak. Diharapkan Rahadi tidak terlalu terbawa-bawa dengan kesilapan yang dilakukannya dan dapat bangkit segera serta kembali kepada potensi sebenar dirinya. 

#7 Persiapan Yang Baik Dalam Misi Sasaran Pingat Sukan SEA 2023

Kejayaan skuad negara dalam menjulang Piala Merlion pada edisi kali ini seolah-olah memberi bayangan awal terhadap kesiapsiagaan Harimau Muda untuk mencapai sasaran yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk sekurang-kurangnya berada di pentas akhir bagi acara bola sepak lelaki di Sukan SEA.

Malaysia yang kali terakhir memenangi pingat emas bagi acara bola sepak lelaki pada Sukan SEA 2011 kini bergantung kepada skuad kendalian E. Elavarasan untuk mengulangi kejayaan 12 tahun lalu dan membawa pulang pingat emas acara tersebut selepas gagal melakukannya di hadapan penyokong sendiri pada 2017.

komen