Negara dari benua amerika utara, Mexico telah menghantar bidaan rasmi bagi menjadi tuan rumah temasya Sukan Olimpik musim panas tahun 2036 atau 2040, pada Jumaat lalu.
Menurut laporan Reuters, bidaan itu dihantar oleh Menteri Luar, Marcelo Ebrard serta Presiden Jawatankuasa Olimpik Mexico, Maria Jose Alcala kepada Thomas Bach selaku Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di ibu pejabat IOC, Lausanne, Switzerland.
Dimaklumkan, bidaan itu dihantar bersempena sambutan ulang tahun ke-100 Jawatankuasa Olimpik Mexico.
En el @iocmedia, nuestro Canciller @m_ebrard y la presidenta de nuestro Comité @maryjosealcala le entregaron al presidente Thomas Bach la Carta donde se formaliza la intención de México de ser sede de los próximos Juegos Olímpicos 2036 o 2040. pic.twitter.com/2b6aWxkfyJ
— Comité Olímpico Mexicano (@COM_Mexico) March 24, 2023
Perwakilan Mexico turut berkata, kebanyakan infrastruktur yang diperlukan untuk menganjurkan temasya itu sudah bersedia dan sebuah jawatankuasa akan dibentuk untuk menyokong bidaan terbabit.
Sebagai rekod, Mexico sudah pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada edisi 1968 selain menjadi tuan rumah bagi kejohanan Piala Dunia 1970 dan 1986 serta penganjur bersama bagi edisi 2026 bersama Amerika Syarikat dan Kanada.
Tuan rumah bagi tiga edisi temasya Sukan Olimpik berikutnya sudah ditetapkan iaitu Paris (Perancis, 2024), Los Angeles (Amerika Syarikat, 2028) dan Brisbane (Australia, 2032).
Untuk makluman tambahan, sebelum ini terdapat beberapa negara yang berminat untuk menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik 2036 seperti Mesir, England, India, Indonesia dan Qatar.