Artikel

Arif, Endrick Alami Kecederaan Hamstring & Buku Lali

Dua pemain skuad kebangsaan, Arif Aiman dan Endrick dos Santos yang dilepaskan keluar dari kem latihan skuad kebangsaan sepertimana dimaklumkan oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dilaporkan mengalami kecederaan hamstring dan buku lali masing-masing. 

Kecederaan yang dialami oleh kedua-dua pemain terbabit disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial milik kelab berkenaan, pada hari ini.

Arif pertama kali melaporkan kecederaan hamstringnya kepada doktor skuad kebangsaan sebelum perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan minggu lepas manakala Endrick dikeluarkan selepas separuh masa pertama akibat kecederaan buku lali.” kata Alistair.

Dimaklumkan, doktor skuad kebangsaan telah mengesahkan pada hari semalam kedua-dua pemain ini tidak dapat diturunkan untuk perlawanan menentang Hong Kong (malam esok). 

Justeru, skuad berjulukan Harimau Selatan memohon Arif dan Endrick dilepaskan kepada mereka agar dapat memantau mereka dengan lebih baik dan merawat mereka untuk kembali ke tahap kecergasan penuh untuk tempoh yang lebih lama.

Pada masa yang sama, kem latihan skuad kebangsaan juga akan tamat pada hari esok.

“Tidak ada gunanya kedua-dua mereka kekal di kem kebangsaan apabila mereka sudah pasti tidak dapat beraksi dalam perlawanan pasukan kebangsaan seterusnya disebabkan kecederaan.” 

“JDT ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kebangsaan kerana bersetuju bahawa ia adalah yang terbaik untuk Arif dan Endrick meneruskan rawatan mereka dengan kami agar lebih bersedia untuk perlawanan-perlawanan kelab dan skuad kebangsaan yang akan datang.” tambahnya lagi.

komen