Penganjur saingan bola sepak domestik, Malaysian Football League (MFL) tampil mengumumkan agihan pendapatan kepada 14 buah pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super bagi musim 2023 hingga 2025, pada hari ini.
Buat pertama kalinya, MFL memperkenalkan dua mekanisme pengagihan pendapatan berasaskan agihan rata (RM500,000 setiap pasukan) dan agihan merit (bersandarkan prestasi/kedudukan akhir dalam liga) hasil daripada pendapatan serta penajaan yang diperolehinya.
Berdasarkan jadual yang dikongsikan, agihan merit akan memberikan wang tunai sebanyak RM1.9 juta buat juara Liga Super diikuti RM1.4 juta dan RM1 juta buat penghuni di tangga kedua dan ketiga masing-masing.
Ini bermakna, juara Liga Super bagi tiga musim berikutnya akan meraih RM2.4 juta. Manakala naib juara dan pasukan di tempat ketiga pula akan meraih RM1.9 juta dan RM1.5 juta masing-masing.
Sementara itu pasukan tercorot liga pula akan mendapat RM100,000 daripada wang agihan merit menjadikan mereka mendapat RM600,000 secara keseluruhan dicampur dengan wang agihan rata.
MFL percaya mekanisme ini akan mendorong setiap kelab untuk berusaha mencapai kedudukan terbaik sehingga akhir musim kerana setiap kedudukan di dalam liga akan mempunyai nilai ganjaran yang berbeza.
Sebagai rekod, jumlah keseluruhan pengagihan bagi musim ini adalah RM15.675 juta – peningkatan sebanyak 96.55 peratus berbanding pengagihan kepada 14 buah kelab yang sama pada musim lalu.