Perseorangan remaja negara, Justin Hoh terus mempamerkan peningkatan apabila berada di dalam kelompok 60 pemain terbaik dunia selepas mengakhiri saingan Cabaran Antarabangsa Vietnam 2023 di pusingan suku akhir.
Biarpun tidak berjaya mara ke peringkat yang lebih jauh, kedudukan juara Cabaran Antarabangsa Uganda itu telah melonjak sebanyak 11 anak tangga dalam kemaskini ranking oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini.
Justin kini berada di tangga ke-59 dunia setelah mengutip 23,520 mata setakat minggu ke-13 pada tahun ini.
Dalam penampilan terakhirnya, pemain berusia 18 tahun itu berhasil mengutip 2,200 mata selepas tewas di tangan wakil Hong Kong, Chan Yin Chak yang juga merupakan pilihan ke-10 kejohanan.
Justin berpeluang untuk meningkatkan lagi rankingnya. Bermula 29 Mac (Rabu), Justin akan beraksi dalam Cabaran Antarabangsa Osaka 2023 di Jepun dengan diletakkan sebagai pilihan ke-8 kejohanan.
Cabaran Antarabangsa Osaka merupakan salah satu kejohanan Gred 3 di bawah kelola BWF yang memungkinkan Justin untuk meraih 4,000 mata sekiranya muncul juara bagi acara perseorangan lelaki.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia