5 Perkara Menarik Di Sebalik Kemenangan Malaysia Ke Atas Hong Kong
March 29, 2023 Meor Mohamad Amirul

Malaysia bimbingan Kim Pan-gon berhasil meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam jendela antarabangsa FIFA pada Mac 2023. Ianya hasil menumpaskan Hong Kong dengan keputusan 2-0 menerusi jaringan Akhyar Rashid dan Faisal Halim di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). 

Kemenangan ini turut diserikan dengan berakhirnya kemarau jaringan penyerang negara, penampilan semula pemain tengah yang memberi impak serta lonjakan kedudukan negara yang dipacu Kim Pan-gon. Berikut Sukanz rangkumkan 5 perkara menarik di sebalik kemenangan Harimau Malaya pada malam tadi:

#1 Jaringan Pertama Faisal Halim Tahun 2023 

Faisal Halim akhirnya boleh menghembuskan nafas lega selepas berjaya menjaringkan gol sulungnya bagi tahun 2023 apabila hantaran Darren Lok dikawal kemas penyerang itu sebelum menggelecek dan menewaskan penjaga gol Hong Kong.

Faisal yang kali terakhir menjaringkan gol ketika menentang Laos dalam saingan Piala AFF 2022 terpaksa menunggu lama untuk kembali meraikan jaringannya bukan sahaja ketika mewakili skuad kebangsaan malahan bersama kelab baharunya, Selangor. 

#2 Penampilan Semula Syamer Kutty 

Syamer Kutty yang sebelum ini terpaksa berehat panjang daripada aksi Harimau Malaya akibat kecederaan lutut telah mendapat peluang bermain oleh pengendali negara, Kim Pan-gon pada separuh masa kedua.

Kegoyahan yang ditampilkan bahagian tengah pada perlawanan ini dapat diperbaiki dengan hadirnya Syamer Kutty dan dibantu dengan kemasukan dua lagi pemain tengah bertenaga, Stuart Wilkin dan Brendan Gan. 

#3 Aksi Sulung Daniel Ting Wakili Malaysia

Pemain kelahiran Chester, England ini akhirnya berpeluang menyarung jersi kebangsaan dan beraksi bersama skuad negara apabila dimasukkan pada separuh masa kedua bagi menggantikan Corbin Ong. 

Daniel Ting yang menjaringkan gol dalam aksi terakhirnya bersama Sabah ketika menentang Penang kini dilihat sebagai pemain sokongan yang berkualiti bagi mengisi posisi bek kiri yang selama ini didominasi Corbin Ong.

#4 Akhyar Rashid Semakin Mengaum 

Menjaringkan 2 gol daripada 2 perlawanan buat Harimau Malaya, Akhyar Rashid seolah-olah menutup mulut ramai pihak yang mempersoalkan kekurangan minit permainan yang dicatatkan dalam saingan Liga Super 2023. 

Jaringannya semalam merupakan jaringan ke-9 sepanjang mewakili negara dan beliau memerlukan satu lagi gol untuk dijadikan rekod terbaharu buat dirinya bersama Malaysia.

#5 Pan-gon Terus Perbaiki Ranking Malaysia

Kemenangan ke atas Turkmenistan dan Hong Kong akan memberikan kesan positif kepada ranking negara yang bakal dikemaskini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 6 April nanti.

Untuk rekod, Kim Pan-gon berjaya melonjakkan kedudukan negara sebanyak 9 anak tangga yang kini berada di kedudukan ke-145 dunia dan dua kemenangan pada jendela antarabangsa FIFA kali ini memungkinkan Malaysia untuk berada dalam kelompok 140 negara terbaik dunia serta 25 negara terbaik Asia.

Komen