Pemenang Ballon d’Or sebanyak tujuh kali, Lionel Messi menempa satu lagi rekod dalam kariernya dengan muncul sebagai pemain pertama yang menjaringkan 100 gol buat skuad kebangsaan Argentina.
Pemain berusia 35 tahun ini melakar rekod tersebut ketika perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Curacao bertempat di Estadio Unico Madre de Ciudades, pada awal pagi tadi waktu Malaysia.
Messi merangkap kapten skuad La Albiceleste menempa rekod terbabit apabila menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-20 permainan menerusi satu rembatan deras dalam kotak penalti melepasi penjaga gol lawan, Eloy Room.
Bagaimanapun, jaringannya tidak terhenti setakat itu sahaja. Selang 13 minit kemudian, Messi berhasil menambah dua lagi jaringan dalam tempoh empat minit sekaligus mencetak hatrik daripada perlawanan ini.
Dengan pertambahan jaringan terbabit, Messi kini mengungguli carta penjaring terbanyak skuad kebangsaan Argentina dengan catatan 102 gol.
Dalam perlawanan yang sama, empat lagi rakan sepasukannya, Nicolas Gonzalez, Enzo Fernandez, Angel Di Maria dan Gonzalo Montiel turut menambah satu gol masing-masing sekaligus membuatkan Argentina menang bergaya dengan keputusan 7-0 ke atas pasukan di ranking ke-86 dunia itu.
Sebagai rekod, Messi mencetak jaringan pertamanya bersama skuad senior Argentina ketika bertemu Croatia dalam perlawanan antarabangsa pada Mac 2006.
Sementara itu, jaringan ke-50 bersama Argentina pula hadir ketika menentang Bolivia pada Mac 2016 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018.
Senarai 10 penjaring terbanyak Argentina sepanjang zaman adalah seperti berikut:
- Lionel Messi – 102 gol
- Gabriel Batistuta – 55 gol
- Sergio Aguero – 41 gol
- Hernan Crespo – 35 gol
- Diego Maradona – 32 gol
- Gonzalo Higuain – 31 gol
- Angel Di Maria – 28 gol
- Lautaro Martinez – 21 gol
- Daniel Passarella – 20 gol
- Jose Sanfilippo – 18 gol