Juara Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini menyasarkan untuk menjuarai saingan itu buat kali kesepuluh sekaligus mencipta sejarah mendominasinya selama sedekad.
Sasaran itu dilaungkan oleh pemiliknya, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi satu komen yang ditinggalkan di ruangan komen akaun Instagram milik skuad berjulukan Harimau Selatan itu, pada hari ini.
Dalam komen itu juga, TMJ menantikan kehadiran para penyokong JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri menjelang perlawanan keenam Liga Super menentang Sabah FC yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat nanti.
“Kami adalah pencipta sejarah, dan peneraju dalam setiap aspek. Ini adalah satu fakta dan bukan cerita dongeng atau halusinasi.” tulisnya.
Pada ketika ini, JDT sedang mengungguli carta Liga Super dengan pungutan 15 mata daripada lima perlawanan.
Manakala Sabah bimbingan Datuk Ong Kim Swee pula sedang mengekori rapat di tempat kedua dengan mempunyai 13 mata daripada lima perlawanan.
Sekitar penghujung Februari lalu, TMJ menerusi satu video temu bual menetapkan sasaran menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok tiga terbaik serta melepasi peringkat kumpulan bagi kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Sebagai rekod, JDT pertama kali menjulang trofi Liga Super adalah pada musim 2014.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers