Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan mengambil tindakan melucutkan Indonesia sebagai tuan rumah bagi kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023.
Keputusan itu diambil berdasarkan “berikutan perkembangan semasa” susulan perjumpaan antara Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.
Menurut laporan CNN Indonesia, tindakan FIFA itu diyakini didorong oleh keputusan gabenor di wilayah Bali dan Jawa Tengah yang merupakan venue bagi kejohanan terbabit menolak kehadiran skuad kebangsaan Israel.
FIFA removes Indonesia as host of FIFA U-20 World Cup 2023™
— FIFA Media (@fifamedia) March 29, 2023
Selain itu, terdapat juga protes yang diadakan di Indonesia bagi menghalang penyertaan Israel.
Untuk makluman, Israel yang dibimbing oleh Ofir Haim berhasil layak ke saingan Piala Dunia B-20 buat julung kalinya apabila berhasil mara ke perlawanan akhir Kejohanan UEFA B-19 2022.
Selain itu, dalam pengumuman yang sama, FIFA mengesahkan PSSI berpotensi dikenakan hukuman yang akan ditentukan kelak.
Sementara itu, badan induk bola sepak dunia itu turut mengesahkan tarikh kejohanan yang bermula 20 Mei hingga 11 Jun ini kekal. Bagaimanapun, tuan rumah baharu akan diumumkan dalam masa yang terdekat.