Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berpendapat bahawa keadaan padang yang berkualiti di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menjadi punca kepada kemenangan skuad Harimau Malaya ke atas Turkmenistan dan Hong Kong.
Keadaan padang yang menggunakan rumput Zeon Zoysia itu membolehkan skuad kebangsaan untuk bermain dengan baik dan mencapai kemenangan 1-0 dan 2-0 masing-masing.
“Jika dahulu mempunyai padang yang lebih berkualiti seperti ini, saya rasa kita sudah lama pergi jauh”, ujar Safee ketika ditemui majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia (PFAM) bersama Kindness Malaysia dan Malaysia Association for the Blind (MAB) semalam.
Safee yang merupakan Presiden PFAM turut mengesan perubahan ketara dapat dilihat dalam skuad kebangsaan terutamanya dalam aspek serangan yang gemar melakukan tekanan awal kepada pihak lawan serta peningkatan keserasian antara pemain.
Sebagai rekod, Malaysia mencatatkan kemenangan ke atas Turkmenistan menerusi jaringan tunggal Akhyar Rashid dan menewaskan Hong Kong hasil jaringan Faisal Halim dan Akhyar Rashid pada 23 dan 28 Mac lalu.
Untuk makluman, SSI menjadi venue perlawanan bagi skuad Harimau Malaya buat julung kalinya ekoran Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ditutup bagi tujuan penambahbaikan dan penyelenggaraan termasuk penukaran rumput jenis Zeon Zoysia.
Sebagai tambahan, majlis yang berlangsung di Kompleks MAB pada malam tadi turut dihadiri Timbalan Presiden PFAM, Razman Roslan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail.
Featured Image: PFA Malaysia | Syamil Rosli