Puasa sekitar 15 jam sehari tidak menjadi halangan buat pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang terkenal dengan julukan “The Pocket Rocketman” untuk terus menjalani latihan seperti biasa.
Tempoh puasa yang agak panjang itu terpaksa dilalui oleh pelumba berusia 35 tahun ini ekoran sedang berada di bandar yang terletak di sebuah kepulauan perairan Mediterranean iaitu Palma de Mallorca.
“Puasa di sini mengambil masa selama lebih kurang 15 jam dengan keadaan cuaca yang mempunyai matahari panas tetapi dengan angin yang sejuk.”
“Suhu minimum sekitar 8 celcius dan maksimum mencecah 25 celcius dan masyarakat tempatan mengatakan sekarang adalah ‘the best season of the year’.” ujarnya.
Bagaimanapun, pelumba berasal dari Dungun, Terengganu menjelaskan sesi latihan pada bulan Ramadan diubah suai sedikit terutamanya pada aspek program latihan dan waktu untuk berlatih.
Untuk makluman semua, Azizul bersama pelumba-pelumba negara yang lain menjalani kem latihan di sana atau secara spesifiknya, Velodrom Illes Balears bagi menyiapkan diri untuk perlumbaan di sekitar eropah kelak.
Sekitar pertengahan Mac lalu, Azizul yang mendapat kecederaan semasa sesi latihan terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan aksinya dalam perlumbaan Piala Negara-Negara UCI di Kaherah, Mesir selepas mendapat nasihat doktor.
Sebelum itu, Azizul yang kembali berlumba pada penghujung Februari lalu selepas rehat panjang ekoran pembedahan berkaitan jantung berjaya meraih pingat perak dalam acara keirin dalam saingan Piala Negara-Negara UCI di Jakarta, Indonesia.
Featured Image: Facebook Azizulhasni Awang