Majlis undian bagi saingan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2023 telah berlangsung sebentar tadi, di Swissotel Bangkok Ratchada, Thailand. Dalam sesi undian terbabit, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Thailand, Yaman dan Laos.
Skuad Harimau Muda kendalian Osmera Omaro ini bakal bertemu Yaman sebelum menentang Thailand diikuti dengan aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Laos bermula 15 Jun nanti.
Malaysia layak ke saingan Piala Asia B-17 selepas berjaya menjuarai saingan kelayakan peringkat kumpulan B dengan menewaskan Palestin sebelum terikat menentang Guam yang memerlukan Malaysia menang ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia.
Sementara itu, Kumpulan B menghimpunkan Afghanistan bersama bekas tiga juara edisi sebelum ini – Korea Selatan (1986 & 2022), Iran (2008) dan Qatar (1990).
Bagi Kumpulan C, naib juara edisi lepas, Tajikistan akan bertemu pasukan gergasi Asia yang terdiri daripada juara dua kali, China (1992 & 2004) dan Arab Saudi (1985 & 1988) serta Australia.
Kumpulan D menyaksikan juara bertahan, Jepun bakal bertemu India, Vietnam dan juara edisi 2012, Uzbekistan.
Kejohanan ini merupakan penampilan keenam Malaysia dalam saingan Piala Asia B-17 yang dijenamakan semula daripada Kejohanan AFC Bawah 16 Tahun (B-16).
Dalam penampilan terakhir Kejohanan AFC B-16, Malaysia telah dipilih selaku tuan rumah bagi edisi 2018 tetapi gagal mara ke peringkat kalah mati setelah hanya menang ke atas Tajikistan sebelum tewas kepada Thailand dan Jepun.
Untuk makluman semua, empat pasukan terbaik Piala Asia B-17 bakal layak secara merit untuk beraksi dalam saingan Piala Dunia FIFA B-17 yang bakal berlangsung pada bulan November tahun ini.