Artikel

Cabaran Antarabangsa Osaka: Beregu Lelaki Negara Tersangkut Berjemaah Di Pusingan 32

Kesemua beregu lelaki Malaysia yang mengambil bahagian dalam Cabaran Antarabangsa Osaka terkandas secara berjemaah pada pusingan awal sekaligus menyaksikan tiada wakil negara akan beraksi pada peringkat seterusnya iaitu Pusingan 16.

Terdahulu, saingan badminton bertaraf Gred 3 di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ini menyaksikan penyertaan seramai lima wakil negara yang terdiri daripada gandingan Choong Hon Jian-Goh Sze Fei, Muhammad Haikal-Nur Izzuddin, Arif Junaidi-Yap Roy King, Lwi Sheng Hao-Jimmy Wong dan Low Hang Yee.

Bagaimanapun, kelima-lima beregu ini tumpas kepada lawan masing-masing dalam perlawanan peringkat Pusingan 32 yang berlangsung hari ini.

Hon Jian-Sze Fei yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan menjadi yang terawal mengalami kekalahan ketika bertemu wakil tuan rumah, Tori Aizawa dan Yuto Noda menerusi skor yang berkesudahan 21-16, 16-21 dan 13-21.

Ianya diikuti dengan Sheng Hao-Jimmy yang tumpas secara “straight set” dengan skor 16-21 dan 18-21 di tangan beregu Korea, Kim Young-hyuk dan Wang Chan. Tidak lama kemudian, kedukaan yang sama turut menimpa Haikal-Izzuddin apabila kalah kepada wakil Taiwan, Chen Zhi-Ray dan Lu Chen menerusi skor 21-13, 22-24 dan 21-17.

Kemudiannya, Arif-Roy King yang turut bertemu sepasang lagi wakil tuan rumah, Hiroki Midorikawa dan Kyohei Yamashita pula tersingkir selepas melalui satu pertarungan sengit yang berkesudahan dengan pungutan mata 20-22, 21-18 dan 24-22.

Akhir sekali, gelanggang di Gimnasium Bandar Moriguchi ini menjadi saksi wakil terakhir negara dalam kategori beregu lelaki turut sama tumbang setelah ditundukkan oleh beregu Taiwan, Ming Che Lu dan Tang Kai Wei menerusi tiga set permainan yang berskor 23-25, 21-11 dan 21-13.

komen