Perseteruan Lembah Klang antara Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Selangor FC menjadi salah satu pertembungan klasik yang penuh sejarah buat kedua-dua pasukan.
Menjelang perseteruan Lembah Klang yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada malam nanti, Sukanz tampil menghidangkan 10 fakta perlawanan yang merangkumi rekod semasa pasukan, para pemain serta statistik pertembungan bagi kedua-dua pasukan untuk tatapan pembaca:
#1 Sejarah Pertembungan Kedua-Dua Pasukan Sejak 2021
Sejak KL City kembali ke kancah Liga Super pada musim 2021, kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak 7 kali dalam saingan domestik dengan 2 kemenangan berpihak kepada The City Boys manakala Selangor pula menang sekali dan selebihnya berakhir dengan keputusan seri.
#2 Caion Sebagai Duri Dalam Daging Buat Selangor?
Perlawanan ini merupakan perlawanan pertama Caion bagi menentang bekas pasukannya, Selangor yang mana dia muncul selaku penjaring terbanyak kelab musim lalu dengan 24 gol dan 2 daripadanya ketika menentang KL City.
#3 Rekod Semasa Selangor
Ketika ini, Selangor berada di kedudukan yang lebih baik dalam saingan Liga Super dengan menduduki tangga keempat hasil daripada 3 kemenangan ke atas Kelantan United, Kuching City dan Penang serta terikat menentang Sri Pahang sebelum dibenam juara bertahan, Johor Darul Ta’zim.
#4 Rekod Semasa KL City
KL City pula kurang bernasib baik dalam 4 aksi terakhir mereka dengan mencatatkan 3 keputusan seri dan tewas kepada Johor Darul Ta’zim. Mereka berkelebihan satu perlawanan menentang Negeri Sembilan yang ditunda akibat cuaca buruk.
#5 Pertembungan Terakhir Kedua-dua Pasukan
Aksi terakhir kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri 1-1 hasil jaringan Brendan Gan dan Romel Morales di Petaling Jaya manakala bagi perlawanan terakhir kedua-dua pasukan di Cheras, mereka sekali lagi terikat 3-3 dengan Caion menjaringkan dua penalti buat Selangor.
#6 Kevin Kukuh Selaku Benteng Terakhir KL City
Kevin Ray Mendoza (KL City) merupakan penjaga gol dengan jumlah penyelamatan kedua terbanyak dengan 16 percubaan berjaya diselamatkan setakat ini. Kevin dibezakan sebanyak 2 percubaan dengan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid (14).
#7 Faisal Terus Membantu Serangan Selangor
Biarpun tidak menjaringkan gol, Faisal Halim (Selangor) merupakan salah seorang pemain mengungguli carta bantuan gol terbanyak iaitu 3 ‘assist’ bersama dua lagi pemain, Fernando Forestieri (Johor Darul Ta’zim) dan Jailton Silva (Sabah FC).
#8 Penjaring Terbanyak Kedua-dua Pasukan
Noor Al-Rawabdeh merupakan penjaring terbanyak Selangor dengan 3 jaringan dihasilkan manakala Paulo Josue pula mendahului senarai penjaring KL City menerusi 2 jaringan yang terhasil setakat ini.
#9 Rekod Disiplin KL City yang Kurang Menyenangkan
Pemain tengah KL City, Kenny Pallraj mendahului carta kutipan kad kuning bersama 7 lagi pemain lain dengan 3 kad kuning telah dikutip setakat ini dan sepatutnya digantung pada perlawanan menentang Negeri Sembilan yang telah ditunda tempohari.
#10 Potensi Kedudukan Kedua-dua Pasukan Selepas Perlawanan
Pungutan 3 mata pada malam ini akan meletakkan Selangor kekal berada dalam kelompok 4 pasukan terbaik liga manakala KL City berpotensi terjerumus ke zon penyingkiran.
Sebaliknya, KL City akan berada di kedudukan pertengahan liga sekiranya menang pada malam ini di Cheras dan Selangor berpotensi untuk turun ke tangga kelima atau keenam liga serta dipintas Sri Pahang mahupun PDRM FC.