Chong Yee Fatt Berehat, Penang Mohon Manzoor Jadi Ketua Jurulatih ‘Interim’
March 31, 2023 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Penang FC memaklumkan membuat permohonan kepada Malaysian Football League (MFL) untuk menjadikan penolong ketua jurulatih, Manzoor Azwira sebagai ketua jurulatih ‘interim’.

Permohonan itu dibuat oleh skuad berjulukan Harimau Kumbang susulan ketua jurulatihnya, Chong Yee Fatt terpaksa berehat sekurang-kurangnya selama enam minggu ekoran menghidap masalah kesihatan berkaitan jantung iaitu acute ischemic heart disease.

Perkembangan ini dikongsikan secara rasmi oleh pihak kelab menerusi makluman di pelbagai platform media sosialnya dan masalah kesihatan dialami Yee Fatt itu disahkan oleh doktor dan telah dimasukkan ke Hospital Pantai, Ipoh pada 28 Mac lalu.

View this post on Instagram

A post shared by Penang FC (@officialpenangfc)

Sebelum ini Penang pernah membuat rayuan kepada MFL selaku badan pengendali liga untuk menggunakan khidmat Manzoor selaku pengendali ‘interim’ bagi skuad utama sehingga jurulatih berusia 46 tahun itu menyiapkan Lesen Diploma Profesional AFC.

Bagaimanapun, ianya ditolak MFL sepertimana dimaklumkan Penang dalam satu kenyataan media sekitar penghujung Februari lalu.

Penolakan itu selaras dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan terutamanya individu yang dilantik sebagai ketua jurulatih mestilah mempunyai ‘Pro License’ bagi mematuhi kehendak Pelesenan Kelab (Club Licensing).

Susulan penolakan permohonan terbabit, Penang mengumumkan Yee Fatt sebagai ketua jurulatih dengan Manzoor bertindak sebagai penolong ketua jurulatih. Difahamkan, mereka akan mempertimbangkan untuk melantik semula Manzoor sebagai ketua jurulatih setelah menamatkan kursus kejurulatihan ‘Pro License’ tersebut.

Featured Image:  Malaysian Football League

Komen