Jurulatih Yang Menundukkan Juara Dunia Kini Bimbing Skuad Wanita Perancis
March 31, 2023 Meor Mohamad Amirul

Hevre Renard, jurulatih yang menggegarkan dunia dengan menewaskan Argentina di Piala Dunia lalu dilantik sebagai pengendali skuad wanita Perancis sehingga Ogos 2024.

Pengesahan perlantikan Renard itu hadir menerusi pengumuman yang disiarkan melalui laman sesawang rasmi Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) tengah malam tadi.

FFF menawarkan kontrak kepada Renard untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Piala Dunia Wanita yang bermula Julai ini di Australia dan New Zealand serta Sukan Olimpik Paris 2024. 

Pengendali berusia 54 tahun itu menjadi sebutan ramai selepas Arab Saudi kendaliannya berjaya mengejutkan Argentina yang ketika itu berada pada kemuncak prestasi selepas mencatatkan rekod 36 perlawanan tanpa kalah.

Renard telah meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih Arab Saudi awal minggu ini turut pernah mengemudi Zambia dan Ivory Coast menjuarai Piala Negara-Negara Afrika pada tahun 2012 dan 2015 masing-masing.

Menurut beberapa laporan media eropah, perlantikan Renard bersama Les Bleues dipercayai rentetan daripada kemelut dalaman yang berlaku antara pengendali terdahulu, Corrine Diacre dengan beberapa nama besar terutamanya ketua pasukan Perancis, Wendie Renard. 

Komen