Adrian Teh Filemkan Kejayaan Cheah Liek Hou Rangkul Pingat Emas Paralimpik 2020
March 31, 2023 Hafizuddin Omar

Kejayaan perseorangan lelaki badminton para negara, Cheah Liek Hou merangkul pingat emas di Paralimpik Tokyo 2020 akan difilemkan oleh Adrian Teh menerusi syarikat produksinya, Act 2 Pictures bersama Astro Shaw.

Menerusi bimbingan bekas legenda negara, Datuk Rashid Sidek, Liek Hou yang bertanding dalam kategori SU5 (physical impairment) di temasya terbabit memastikan kilauan emas itu menjadi miliknya selepas menumpaskan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi dalam perlawanan akhir secara “straight set” dengan skor 21-17 dan 21-15.

Filem bergenre drama sukan yang berdasarkan kisah benar ini diberikan judul GOLD. Dua watak utamanya, Cheah Liek Hou dan Rashid Sidek akan dilakonkan oleh Jack Tan dan Farid Kamil masing-masing.

Manakala beberapa pelakon lain seperti Yasmin Hani, Wan Raja, Fabian Loo, Freddie Ng, Lynn Lim dan Daniel Cheah akan membawakan watak isteri Rasid, ibu Rashid, Guan Teng, bapa Liek Hou, ibu Liek Hou dan Ah Fat masing-masing.

Filem ini akan berkisarkan kepada karier badminton Liek Hou yang luar biasa pada awalnya sehingga dia didapati menghidapi kebas saraf brakial. Bagaimanapun, Liek Hou tidak berputus asa dan meneruskan kariernya dalam kejohanan badminton para sehingga memenangi kejuaraan dunia.

Namun begitu, kehilangan bapa yang menjadi tonggak utama sokongan kepadanya sepanjang hidup menjadi satu dugaan besar dalam hidupnya.

Apabila Paralimpik mengumumkan badminton menjadi salah satu sukan yang dipertandingkan di Tokyo, Liek Hou bangkit semula dengan bantuan Rashid selaku jurulatihnya sehingga berjaya merangkul pingat emas yang penuh bersejarah itu.

Difahamkan filem ini masih dalam sesi penggambaran dan tarikh tayangan belum diumumkan lagi.

Komen