Status naib juara Piala AFC 2022 yang dimiliki Kuala Lumpur City FC (KL City) tidak menjadi kegerunan buat pasukan pelawat, Selangor FC ketika turun berentap dalam saingan keenam Liga Super merangkap.
Bahkan skuad berjulukan Red Giants bimbingan Tan Cheng Hoe itu berhasil melakar satu kemenangan selesa ke atas KL City dengan keputusan 3-1 bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Kemenangan Selangor itu dicetuskan menerusi jaringan berganda oleh Ayron del Valle pada minit 32’(p) dan 53’ serta satu gol sumbangan pemain skuad kebangsaan iaitu Faisal Halim pada minit 40’(p).
Sebelum itu, KL City bimbingan Bojan Hodak terlebih dahulu membuka tirai jaringan dalam perseteruan setempat ini melalui Tchetche Kipre pada minit 24’.
Pada masa yang sama,kemenangan ini pastinya dapat mengubat luka Selangor yang tumpas dengan jaringan besar 0-4 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada perlawanan kelima liga baru-baru ini.
Menariknya, ini merupakan pertarungan derbi Lembah Klang melibatkan Selangor dan KL City dalam saingan liga yang pertama berakhir dengan salah satu pihak meraih kemenangan sejak Jun 2019.
Sebagai rekod, empat pertemuan dalam saingan liga sebelum ini hanya berakhir dengan keputusan seri.
Featured Image: Selangor FC